Showing posts with label Glam. Show all posts
Showing posts with label Glam. Show all posts

05 September 2011

Glamour dari Sudut Pandangan Berbeza


Menurut kamus Oxford perkataan glamour merujuk kepada sesuatu yang menarik dan mempunyai kualiti yang mengujakan. Di samping itu glamour ada kaitan dengan apa jua yang mengasyikkan dan apa-apa yang memberi semacam kesan magis dan inspirasi dalam kehidupan kita seharian.

Berkisah tentang glamour dan kemasyhuran, kata Charlie Cox bintang kacak yang baru diperkenal dalam filem Stardust, “Fame terrifies me, when people know the real you, they won’t like you.” Kalau benar begitu, name and fame bukanlah sesuatu yang menyeronokkan sangat. Cuma perasaan terasa melonjak bila sudah menjadi celebrity sambil mata-mata yang tak berkedip memandang flash kamera paparazzi. Perasaan glamour juga akan terasa kalau kita sering mendampingi the who’s who in fashion, atau kita sendiri yang menjadi fashionista.

Apapun, kali ini dalam kita bercerita tentang glamorous people, saya berjanji pada my aunt Wirda, yang saya tak akan berkisah tentang glamour para celebrities dan artis kita yang selalunya, minta maaf cakap, over-rated. Saya cuba mengupas secara ringkas cerita di sebalik kehidupan personaliti lain yang terkenal dan amat glamour di era mereka. Saya cuba menulis dari sudut pandangan yang berbeza.


Want to lead 

a glamorous life 
but without love 
it ain’t much 

- Sheila E


Baru dua minggu lepas saya berkunjung ke kota Singa atas urusan pejabat. Sempat juga di sebelah malamnya saya singgah ke sekitar daerah penempatan Khatib dan Kampung Glam (memang betul ejaannya begitu). Sebenarnya Glam berasal dari perkataan gelam, sejenis tumbuhan eucalyptus yang boleh menjadi penawar kesakitan otot dan masalah pernafasan. Untuk pengetahuan anda minyak kayu putih yang serbaguna itu mempunyai ekstrak dari pokok gelam.

Di stesen MRT Khatib, saya singgah sebentar sambil memikirkan siapakah gerangan orang yang bernama Khatib yang namanya diberi penghormatan. Menurut lagenda dia ialah seorang lelaki yang alim tetapi telah dizalimi oleh Sultan ketika itu. Tetapi sebelum mati beliau sempat melafazkan sumpah buat Singapura. Kaum lelaki seperti yang anda semua kenal, amat literal. Men are literal, they mean what they say and say what they mean.

Nak dijadikan cerita akibat sumpahan itu beribu-ribu ekor ikan todak menyerang Singapura. Nasib baik ada seorang budak genius bernama Hang Nadim yang mencadangkan idea untuk menggunakan batang pisang bagi menangkis tujahan muncung ikan todak yang tajam lagi berbisa. Sebelum itu, akal para penduduk yang agak pendik dan hanya mampu memikir untuk menggunakan kedua betis mereka. Singapura kembali tenang dan aman. Cuma yang menyedihkan pemerintah masih tidak belajar dari kesilapan dahulu, masih mendengar nasihat yang kurang bijak. Hang Nadim pula dihukum bunuh.

Di Kampung Glam pula ada tersergam sebuah istana peninggalan Sultan Hussein yang kini dijadikan muzium. Akibat pengaruh Inggeris yang begitu kuat ketika itu, serta kesan penghijrahan besar-besaran kaum imigran dari Tanah Besar China, penduduk asal keturunan Melayu dan Arab terpaksa meninggalkan daerah Kampung Glam dan berhijrah dan menetap di sekitar Geylang Serai dan Eunos. Pokok gelam yang banyak di sinipun tak mampu menyelamat keadaan.

Apapun, di Kampung Glam saya begitu seronok menghirup secangkir teh bercampur daun pudina sambil menghembus shisha berperisa strawberi dan membayangkan keadaan di sini dua ratus tahun dahulu tentu berbeza. Paduka Sultan tentu hidup glamour bersama kemewahan dan kekuasaan yang ada sebelum Raffles tiba. Tapi bila kita hidup mewah dengan kekuasaan, pengaruh dan glamour, perlu sentiasa diingat ungkapan cerita Spiderman “With great power comes great responsibility.”

Tidak adakah mereka yang berkuasa, glamour dan bertanggungjawab?

Lalu teringat saya pada Cik Siti Wan Kembang. Permaisuri lagenda dari Kelantan di kurun ke-14. Baginda amat terkenal dengan kecantikan dan kebijaksaan. Yes, beauty and brain. Saya amat sukakan kombinasi itu. Patutlah kebanyakan perempuan dari Kelantan cantik-cantik belaka (no offense to the rest, you are beautiful too)!

Lupakan tentang cerita-cerita magis tentang Cik Siti Wan Kembang. Bagi penganalisa seperti saya, fakta tentang Cik Siti yang lebih menyebabkan saya teruja ialah catatan sejarah pertemuan pengembara terkenal Ibnu Batuta yang singgah di Kelantan dan sempat bertemu Baginda. Lambang rusa di bendera negeri Kelantan adalah sempena rusa yang menjadi pet peliharaan kesukaan Baginda.

Dua kurun selepas Cik Siti, ada pula celebrity lain di Melaka. Siapa lagi kalau bukan srikandi terkenal Tun Fatimah. Tun Fatimah adalah anak Bendahara Melaka. Ceritanya, habis semua adik beradik lelakinya dibunuh orang suruhan Sultan. Tapi cik Tun yang bukan sahaja anggun dan bijak serta penuh karisma sanggup bertahan dan berkahwin dengan Sultan Melaka. Demi negara, bangsa dan tanahair.

Di atas singgahsana, cik Tun yang sebenarnyalah bersama-sama Bendahara Tun Perak yang bertanggungjawab meluaskan empayar Melaka sampai ke Johor dan Riau. Dikatakan pihak Portugis lebih takutkan Tun Fatimah dari Sultan Melaka sendiri. Kalau bukan disebabkan pengkhianatan dari musuh dalam selimut oleh Si Kitul dan Raja Mendeliar (dan petualang lain dari Benua Keling) yang memberi rahsia kepada Portugis, belum tentu Melaka jatuh ke tangan penjajah.

Di kurun ke-20 yang lepas saya terpanggil untuk mengingatkan kita pada seorang wanita yang begitu glamour dalam kehidupan beliau. Srikandi zaman pra-kemerdekaan yang saya maksudkan ialah Ibu Zain. Menurut anak perempuannya, Ibu Zain ialah seorang wanita anggun dan sering bergaya dengan baju kurung putih dan berkain batik, berkasut tumit tinggi dan sentiasa berjalan dengan pantas dari rumah ke pejabat. Ibu Zain ialah perintis kaum wanita Melayu di dalam bidang pelajaran, seorang nasionalis kental dan aktivis politik yang berwibawa. Saya amat mengkagumi beliau.

Personaliti-personaliti glamour yang di atas mampu merubah keadaan dan nasib diri sendiri, anak bangsa dan juga negara tercinta. Kata Remy si tikus comel, chef glamour dan hero filem animasi Ratatouille, “Change is nature, the part that we can influence and it starts when we decide.”

Bagi saya inilah glamour yang memuncak. Mereka yang glamour ialah mereka yang menjadi sumber inspirasi dan kita semua patut mengambil iktibar dengan sejarah dan pencapaian mereka. Pepatah Latin ada menyebutkan “Historia est vitae magistra.” Sejarah adalah guru kehidupan. Kita harus membuat keputusan supaya ada perubahan dan pembaharuan dalam diri kita dan persekitaran kita.

Ia harus bermula sekarang.


Close your eyes 

and imagine this 
Eternal bliss 
your every wish 
at your finger tips 
and more … 

Perched on a throne 
near a stream 
So serene 
and exquisite a scene 
You've never seen 
Yet you still dream 
of more … 

Gone is grief, gone is fear 
Gone is pain, gone are tears 

- Ibn al Butaana



GLAM

16 August 2011

Catatan Lelaki Tipikal di Hari Raya

Words, they don’t come that easy. Itu yang aku rasakan bila my dear aunt Wirda menyuruhku menulis sesuatu di dalam majalah glamournya. Sebelum aku pergi lebih jauh, ingin ku perkenalkan diriku. I’m just a typical Malaysian male. The man that you see on the street, atau yang sama bergayut di dalam LRT. Too typical. Sehinggakan anda semua tak perlu tahu lebih lanjut. Tapi, hey, lelaki tipikal juga punya citarasa. Kami juga punya banyak cerita. Kadang-kadang kalau diberi peluang (seperti ini), cerita kami juga mungkin menarik. Di sini aku catatkan secebis kisah yang ringkas. Seringkas skirt wanita, long enough to cover the essentials but short enough to keep it interesting.

OK. Topik semasa. Tentang Hari Raya. Di waktu begini sering kita terpandang di muka akhbar akan gambar-gambar ceria para pelajar kita di unversiti luar negara. Dari US, dari UK, dari Eropah, Down Under, Jepun, Jordan dan lain-lain. Kalau gambar itu berlatar belakangkan salji yang tebal, lagi tambah menarik. Bagi mereka yang pernah ke sana, aisyehman, menyampah. Tetapi, tentu juga ada yang rasa sedikit iri hati, atau mungkin terbayang ‘kalaulah aku di situ’. Gambar-gambar ini selalu diiringi caption ucapan rindu buat ayah bonda dan keluarga tercinta. Tapi percayalah, di sebalik wajah-wajah ceria itu sebenarnya tercatat seribu satu kisah suka duka di perantauan.

Di hari raya, terkenang daku kepada si dia 

Kampungku indah nun jauh di sana, ayah serta bondaku


Hati sekeras manapun pasti terusik bila mendengar lagu Dendang Perantau. Terutama kalau benar-benar anda di perantauan. Dan aku, biar macho mana sekalipun kurasakan diriku, air mata sebak pasti mengalir. Rinduku teramat dalam pada kampung halaman nun jauh puluh ribuan batu, pada ibu ayah tercinta dan sang kekasih (kini bekas) yang ditinggalkan. Tetapi hati ini harus cekal. Perjuangan ini harus diteruskan. Kupinjam kata Sudirman:

Rindu hati ini inginku kembali, pada ayah bonda dan saudara 

Tetapi aku harus mencari rezeki, membela nasib kita bersama


Jadi aku, seperti para pelajar lain yang menuntut di satu bandar dingin (dan beku) di sekitar pergunungan dan loch di Scotland, terus bertekad untuk mengharungi perasaan hiba ini di setiap Hari Raya dengan hati yang tabah. Kebanyakan dari kami tak punya cukup wang untuk balik ke Malaysia pada Hari Raya, yang selalunya jatuh bukan pada musim cuti semester. Jadi, kami harus terus bertahan. When the going gets tough, the tough get going.

Kami tak pedulikan keresahan dan kesedihan di perantauan. Kami berpakat dan bersatu hati untuk menyambut hari kebesaran ini. Hari Raya ialah Hari Raya, walaupun di Scotland. Pelajar lelaki akan mengenakan baju Melayu lengkap dengan kain samping songket penuh dan yang perempuan siap dengan baju kurung atau kebaya, tanpa menghirau dingin cuaca. Semuanya kelihatan sungguh anggun, sungguh menawan. Dan ya, sungguh GLAM. Agaknya, mat dan minah saleh tempatan berfikir “Apalah yang sedang berlaku, ada perayaan pakaian tradisional agaknya?”

Dan apalah Hari Raya kalau tak ada juadah Hari Raya. Segala macam masakan dan juadah enak kami sediakan. Ada juga yang kami improvised. Pernah anda dengar lemang aluminium foil? Kami cuba sedaya upaya menyediakan yang terbaik, samada yang asli dan segar, atau sekadar mengggunakan makanan pek dari Brahim’s kiriman dari kampung.

Allahu Akbar, Allahu Akbar 

Walillah Ilham


Kami bertakbir dan bertahmid beramai-ramai di rumah dan di masjid. Sebenarnya di dunia ini, cuma orang Melayu sahaja yang bertakbir Raya dengan suara yang nyaring. Dan orang Melayu saja yang pakai baju Melayu pada Hari Raya, walaupun di negeri orang Putih. Well, orang Melayu jugalah yang ada banyak koleksi lagu Raya. Lagu-lagu raya yang wajib dari Tok Pah, DJ Dave, M Nasir, Sudirman, Fazidah Joned, P Ramlee dan Saloma. Dulu belum ada Tok Siti.

Time flies. Peristiwa beraya di perantauan sudah hampir berbelas tahun berlalu. Kembali ke tanahair, Hari Raya datang dan pergi. Lagu Dendang Perantau dan Dari Jauh Kupohon Maaf masih menjadi kemestian sewaktu Hari Raya. Belum puas membujang, si bonda tercinta sering membayangkan alangkah seronoknya kalau anak terunanya punya teman di Hari Raya.

“Mak carikanlah. Anak Mak ni setuju sahaja.” Hah, sejuk perut ibu bila mendengar anak lelakinya berkata begitu. Syurga di telapak kaki ibu. Aku akan berbuat semampuku untuk menjaga hatinya.

Yes. Memang seronok ber-Hari Raya bila sudah punya isteri. Terima kasih Mak kerana mencarikan aku seorang isteri yang cantik dan serba mencukupi. Cuma, bila hendak menyambut Hari Raya di rumah ibubapa siapa, soalan itu tiba-tiba ia menjadi tanda tanya (pun intended). Yang nyata bukan lagi secara otomatis di kampungku. OK, penyelesaiannya. Tiap tahun kami suami isteri setuju bergilir. Kalau tahun ini beraya di kampungku, tahun depan di kampung si isteri. Kecuali …

“When I’m pregnant, Raya must be at my Mom’s.” Dan di tahun itu, sistem giliran tidak diambil kira. Wow! Lelaki, siapa kata keputusan di tangan kita. Mungkin ya kalau di pejabat atau di bilik mesyurat. Tapi tidak, bila soal nak beraya di kampung siapa. Sepuluh tahun perkahwinan, tolak empat kali pregnancy, bahagi dua.

“Mak rasa kamu dah jarang balik beraya dengan Mak.” Well, dear Mom you are the one who asked me to get married.

Bila bercakap tentang hendak balik Raya di mana, rasa sensitif semacam. Kadang kala erti beraya di kampung sendiri kita rasakan semacam jawapan ringkas panglima Salahuddin al Ayubi bila ditanya kesatria Balian of Ibelin tentang berapa nilai Jerusalem yang dimenanginya dari tentera Salib. It’s nothing, but it’s everything.

Pun begitu, Hari Raya tetap meriah. Terutama bila melayan kerenah anak-anak. Kami punya dua pasang anak-anak yang comel. Merekalah yang paling bergembira bila tiba Hari Raya. Dan siap sedialah para ibu dan bapa saudara sekelian, duit raya jangan dilupakan. Budak-budak ini menerima minimum yang merah, tapi warna unggu amat dialu-alukan.

Untuk Hari Raya, satu kemestian ialah corak dan warna pada baju Melayu dan baju kurung kami anak beranak, pasti sedondon. Sudah sepuluh kali raya kami sudah tak tahu nak pilih warna apa untuk tahun depan. “Ayang, apa kata kita pakai je baju-baju tahun lepas, what do you think?” Sememangnya soalan tadi berani kutulis tapi tak pula berani kuucapkan, walaupun kurasakan betul. Pesan seseorang kepada para suami, “Two secrets to keep your marriage brimming. Whenever you're wrong, admit it. Whenever you're right, shut up.”

“Abang! Ayang dah sedia.” Kulihat si isteri cukup menarik dengan busana anggun baju kurung pesak gantung diperbuat dari kain sutera Thai. “Tapi, yang beropol-ropol tu apa?” Sudah semacam fesyen si pereka yang diundi keluar dalam Project Runway pulak. Sebenarnya si isteri juga complaint kenapa tiap-tiap tahun aku cuma beli baju Melayu Johor (disclaimer: aku orang Perak) jahitan tulang belut sahaja. “That my dear is my prerogative.” Tapi, anak-anak kamilah yang paling teruja. Mereka nampaknya sudah bersedia untuk ber-Hari Raya di rumah datuk dan opah di kampung. Tahun ini di kampung si isteri. So, it’s nothing for me.

Klik! Satu gambar digital keluarga tipikal di suatu pagi Hari Raya nan indah. Senyuman ceria kami seiras senyuman di gambar para pelajar kita di luar negara.

Selamat Hari Raya! Maaf Zahir dan Batin.





-Glam-

14 February 2008

Kepadamu Kekasih

Februari datang lagi.

Februari bulan rindu. Bulan mengenang sang kekasih. Walau pada hakikatnya, semua para kekasih mahu mereka dikenangi pada setiap waktu, setiap hari, setiap 24-7-365. Tetapi kelemahan dan kealpaan yang ada pada diri sendiri, memungkinkan kita tidak mampu berbuat demikian. Apapun, yang paling penting, kita jangan harus berputus asa. Mesti terus mencuba.

KepadaMu kekasih
Aku serahkan
Jiwa dan raga
Jua segalanya


Itu kata-kata M Nasir di dalam lagunya. Kalau diteliti, lagu itu sebenarnya untuk kekasih Yang Maha Agung, tapi pada pendapatku, boleh juga kita tujukan pada kekasih di luar sana, pada para kekasih di dunia yang fana’ ini. Aku tujukan lagu itu pada mereka para kekasih (seperti aku) yang banyak cacat celanya, juga pada mereka-mereka yang banyak ketidak sempurnaannya.

Perasaan cinta yang lahir di dalam hati kita bukanlah boleh dibuat-buat. Cinta itu bukan kemahuan fikiran. Cinta adalah anugerah dan rahmat Tuhan. Kata Qaisy mengenai kekasihnya Layla, “I pass by these walls, the walls of Layla, and I kiss this wall and that wall, it’s not love of the house that has taken my heart, but of the one who dwells in those houses.” Kalau sedang asyik bercinta, segalanya tentang kekasih akan membuat kita rindu. Rindu pada paras wajahnya, merdu suaranya, manis senyumannya dan segala apa tentangnya.

"... but the one who dwells in those houses."
Suatu ketika dahulu, aku berada di sekitar bandar Glasgow yang dingin dan beku, ketika cinta puppyku hilang entah ke mana. Aku juga bersama sahabat karib yang segak bergaya bernama Rosman (katanya, itu bukan nama sebenar) yang sedang asyik mabuk bercinta dengan seorang gadis manis yang bernama Ana (ini juga bukan nama sebenar) yang waktu itu sedang menuntut di dalam jurusan undang-undang di kota London. Pantang waktu cuti sahaja, kedua pasangan ideal ini akan sentiasa bersama. Memadu kasih asmara. Jarak ratusan kilometer antara London dan Glasgow bagai tidak memberi makna. Jarak, kata mereka, bukan menjadi satu rintangan. Pertemuan yang kerap bukan sesuatu yang mustahil.

Di kedinginan begini
Kalaulah harummu
Dapat ke mari
Menyapaku


Glasgow yang dingin dan beku

Sedang aku bersendirian sambil berpuisi dan bergurindam tentang rindu yang hilang di suatu musim luruh, pasangan belangkas Rosman dan Ana mesra bercanda di mana-mana. Hingga ke Sherwood Forest di daerah Nottinghamshire, sambil mereka mendendangkan lagu Bryan Adams yang waktu itu berada di tangga Nombor 1 carta rancangan BBC Top of the Pops. Seronok agaknya kalau bersama kekasih di sekitar hutan lagenda Robin Hood, sambil bersumpah untuk setia.

Take me as I am
Take my life
I would give it all
I would sacrifice


I would give it all

Cinta itu sebenarnya satu perjuangan. Setiap perjuangan perlukan pengorbanan. Tuntutan korban itu kadang kala amat berat. Demi kecintaan untuk menegakkan Kalimah Tuhan serta menolak kemungkaran, panglima terkenal Tariq ibnu Ziyad telah membakar semua kapal armadanya ketika mereka baru mendarat di Gibraltar. Seru Tariq kepada bala tenteranya, “O People! Where can you flee? The sea is behind you, and the enemy in front of you!”


The sea is behind you, and the enemy in front of you !

Dengan semangat berkobar-kobar, bala tentera Islam dengan mudah mengalahkan tentera kafir Raja Roderic yang zalim pada suatu musim panas tahun 711 Masihi. Berkat pengorbanan Tariq dan tenteranya, Islam telah bertapak di bumi Sepanyol selama lebih 700 ratus tahun. Satu jarak masa yang begitu lama, sebagai perbandingan Islam di Malaysia baru sekitar 500 tahun.

Kalau kita sekarang anggun bergaya dengan aksesori Loewe atau Tous dari Sepanyol, ada kemungkinan yang perekacipta jenama-jenama designer ini, datang dari keturunan Tariq ibnu Ziyad. Mendiang Salvador Dali pelukis prolifik Sepanyol sering berbangga pada keturunannya dari bangsa Moor di Andalusia, bangsa panglima Tariq ibnu Ziyad.

Sebuah karya Salvador Dali

Setelah kembali ke tanahair, pasangan merpati sejoli Rosman dan Ana melangsungkan perkahwinan. Perkahwinan mereka amat meriah dan berwarna-warni, penuh dengan janji-janji untuk setia selamanya. Rezeki mereka melimpah ruah. Mereka dikurniakan anak-anak yang comel dan bijak. Kawan-kawan dan para sahabat karib amat seronok dan bersyukur melihatkan dua insan ini bahagia dan punya potensi yang besar di dalam kedudukan mereka yang stabil di kelas pertengahan.

Kemudian ujian maha besar pun tiba. Ditokok tambah gangguan pihak ketiga. Mahligai indah satu dekad hancur luluh begitu sahaja. Tidak tahu salah siapa. Mereka saling tuduh menuduh. Dulu kekasih, kini bagai musuh. Kata Rosman padaku, “Hisham sahabatku, tiada apa yang tinggal dalam diri ini, sudah tiada ruang lagi. Kemana hilangnya keroncong cinta aku dan Ana yang selalu kami nyanyikan bersama?”

Rosman, sahabatku. Aku tidak punya jawapan mutlak. Hidup ini, seperti juga cinta, adalah suatu perjuangan. Aku cuba memberi kata semangat padanya. Aku bukan panglima perang sehebat panglima Tariq. Aku cuma seorang sahabat karib. Kata pesanku mungkin tiada memberi kesan atau tidak langsung akan membakar semangat untuk bertarung dengan ujian getir. Tapi ingatkanlah kata-kata hikmat penyair Sasterawan Negara Usman Awang tentang perjuangan hidup.

Kawan-kawanku yang dikasihi
Di belakang duri 
Di depan api
Kita tidak bisa undur lagi
Duri dan api
Tajam panasnya kita hadapi


Kita tidak bisa undur lagi

Selagi ada nyawa, hidup ini perlu diteruskan. Walau duri atau api di hadapan, di belakang atau di keliling kita. Kekasih di dunia ini tiada yang kekal. Kembalilah dengan semangat juang untuk meneruskan kehidupan. Mintalah pertolongan pada Tuhan dan redhalah atas takdir yang berlaku. Semua yang berlaku tentu ada hikmah di sebaliknya. Kerana Dia yang lebih mengetahui. Kerana Dia yang lebih mengerti. Mana tahu di dalam perjalanan kehidupanmu yang baru nanti, kamu akan bertemu kekasih yang setia, yang lebih baik dari Ana. Atau kalau nak dijadikan kisah hidupmu lebih klasik, mungkin kamu dan Ana akan bersatu kembali, sama seperti dahulu di waktu musim bunga-bunga berkembang. Tiada yang mustahil.

Akhirnya, para pembaca yang budiman, Februari datang lagi. Kisah Qaisy dan Layla masih belum selesai, begitu juga antara Rosman dan Ana. Di bulan mengenang kekasih ini, marilah kita sama-sama mengenang dan menghargai pengorbanan kekasih kita. Ucapkanlah terima kasih tidak terhingga pada si dia. Terima kasih kerana sudi berkongsi sama-sama di sepanjang jalan dan liku kehidupan. Terima kasih juga kerana bersabar dengan kerenah dan ego (lelaki seperti aku) kita.

Tetapi, dalam mengenang kekasih kita, kalau yang dapat dilihat hanya perkara-perkara yang kurang baik, fikirkan kembali, kenapa kita jatuh cinta dengannya mula-mula dahulu. Fikirkan segala kenangan terindah. Berilah dia peluang. Peluang sekali lagi. Berilah jua si dia hadiah istimewa. Boleh dipilih yang mana mampu dalam majalah GLAM ini, betulkan my dear aunt Wirda? Kejutkan kekasihmu dengan pemberian ikhlas. He or she deserves it.

Bersegeralah. Sang cupid sudah berkeliaran dengan panah asmara. Semoga kamu berdua jatuh cinta sekali lagi. Dan berkali-kali selepas itu hingga ke akhir hayat.

Kepadamu kekasih di luar sana …


GLAM

Al Buraq: Through the Scientific Lenses

(17:1) Glory be to Him, Who transported His Servant one night from the Masjid-i-Haram to the distant Temple, whose surroundings We have bles...