07 February 2017

Ketika Usia 21 Tahun

1988, usiaku mencecah dua puluh satu tahun. Ketika itu aku sedang menuntut di sebuah universiti usang berusia lebih separuh millennia di sebuah bandar purba yang dingin di negara Scotland. Universiti itu ditubuhkan pada tahun 1451, di ketika zaman keagungan dan kemuncak Kesultanan Melaka. Beratus-ratus tahun kemudian sehingga kini, universiti itu masih gah menerajui peradaban ilmu dan teknologi. Walhal, kegemilangan Kerajaan Melaka bertahan cuma sebelas dekad, sebelum dunia Melayu dihancur musnah oleh penjajah-penjajah Barat secara bergilir-gilir.

Di universiti, aku memilih bidang jurus kejuruteraan aeroangkasa. Memang sejak dari kecil, aku amat terpesona dengan pesawat terbang. Mungkin aku terpengaruh dengan cerita-cerita Abbas ibnu Firnas seorang cendikiawan pelbagai bidang ilmu yang khabarnya menjadi penerbang pertama menggunakan glider di zaman Khalifah Muhammad I di Cordoba, seribu tahun lebih awal dari cubaan Wright bersaudara di Amerika Syarikat.

Di dalam bidang aeroangkasa aku dapat mempelajari ilmu pembuatan dan perekaciptaan pesawat terbang dan pesawat angkasa. Ilmu penerbangan mampu mengolah rahsia yang menjadi penyebab sesuatu objek itu boleh bergerak di ruang angkasa tanpa memerlukan sebarang sokongan dari permukaan bumi. Ianya suatu cabang ilmu sains roket yang menyelidik daya pengangkat aerodinamik dan dapat mencongak daya tujahan serta mendalami kajian tentang pergerakan balistik.

Kesimpulannya, kejuruteraan aeroangkasa bukanlah suatu jurusan yang mudah. Sehinggakan ungkapan kolokial 'that's not rocket science' atau 'itu bukan sains roket' sudah sebati dalam bahasa bicara seharian bila kita berdepan dengan sesuatu keadaan yang begitu logik dan mudah difahami serta bukan terlalu sukar.

Mundar laju ke tahun 2017, tanggal 6 Februari, Ameerul Ahwaz anak sulungku menyambut hari ulangtahunnya yang ke 21. Dia seorang anak yang baik dan mendengar kata ibu dan ayah. Dia dikurniakan Allah swt tubuh fizikal yang sempurna dan berwajah agak tampan. Sekarang, dia masih menuntut di sebuah universiti Scotland yang bercawangan di Putrajaya di dalam bidang kejuruteraan petroleum. Mungkin bidangnya  bukan sains roket, tapi tentunya bukan dari sesuatu yang kolokial.




No comments:

Al Buraq: Through the Scientific Lenses

(17:1) Glory be to Him, Who transported His Servant one night from the Masjid-i-Haram to the distant Temple, whose surroundings We have bles...