Februari datang lagi.
Februari bulan rindu. Bulan mengenang sang kekasih. Walau pada hakikatnya, semua para kekasih mahu mereka dikenangi pada setiap waktu, setiap hari, setiap 24-7-365. Tetapi kelemahan dan kealpaan yang ada pada diri sendiri, memungkinkan kita tidak mampu berbuat demikian. Apapun, yang paling penting, kita jangan harus berputus asa. Mesti terus mencuba.
KepadaMu kekasih
Aku serahkan
Jiwa dan raga
Jua segalanya
Itu kata-kata M Nasir di dalam lagunya. Kalau diteliti, lagu itu sebenarnya untuk kekasih Yang Maha Agung, tapi pada pendapatku, boleh juga kita tujukan pada kekasih di luar sana, pada para kekasih di dunia yang fana’ ini. Aku tujukan lagu itu pada mereka para kekasih (seperti aku) yang banyak cacat celanya, juga pada mereka-mereka yang banyak ketidak sempurnaannya.
Perasaan cinta yang lahir di dalam hati kita bukanlah boleh dibuat-buat. Cinta itu bukan kemahuan fikiran. Cinta adalah anugerah dan rahmat Tuhan. Kata Qaisy mengenai kekasihnya Layla,
“I pass by these walls, the walls of Layla, and I kiss this wall and that wall, it’s not love of the house that has taken my heart, but of the one who dwells in those houses.” Kalau sedang asyik bercinta, segalanya tentang kekasih akan membuat kita rindu. Rindu pada paras wajahnya, merdu suaranya, manis senyumannya dan segala apa tentangnya.
 |
"... but the one who dwells in those houses." |
Suatu ketika dahulu, aku berada di sekitar bandar Glasgow yang dingin dan beku, ketika cinta puppyku hilang entah ke mana. Aku juga bersama sahabat karib yang segak bergaya bernama Rosman (katanya, itu bukan nama sebenar) yang sedang asyik mabuk bercinta dengan seorang gadis manis yang bernama Ana (ini juga bukan nama sebenar) yang waktu itu sedang menuntut di dalam jurusan undang-undang di kota London. Pantang waktu cuti sahaja, kedua pasangan ideal ini akan sentiasa bersama. Memadu kasih asmara. Jarak ratusan kilometer antara London dan Glasgow bagai tidak memberi makna. Jarak, kata mereka, bukan menjadi satu rintangan. Pertemuan yang kerap bukan sesuatu yang mustahil.
Di kedinginan begini
Kalaulah harummu
Dapat ke mari
Menyapaku
 |
Glasgow yang dingin dan beku |
Sedang aku bersendirian sambil berpuisi dan bergurindam tentang rindu yang hilang di suatu musim luruh, pasangan belangkas Rosman dan Ana mesra bercanda di mana-mana. Hingga ke Sherwood Forest di daerah Nottinghamshire, sambil mereka mendendangkan lagu Bryan Adams yang waktu itu berada di tangga Nombor 1 carta rancangan BBC Top of the Pops. Seronok agaknya kalau bersama kekasih di sekitar hutan lagenda Robin Hood, sambil bersumpah untuk setia.
Take me as I am
Take my life
I would give it all
I would sacrifice
 |
I would give it all |
Cinta itu sebenarnya satu perjuangan. Setiap perjuangan perlukan pengorbanan. Tuntutan korban itu kadang kala amat berat. Demi kecintaan untuk menegakkan Kalimah Tuhan serta menolak kemungkaran, panglima terkenal Tariq ibnu Ziyad telah membakar semua kapal armadanya ketika mereka baru mendarat di Gibraltar. Seru Tariq kepada bala tenteranya,
“O People! Where can you flee? The sea is behind you, and the enemy in front of you!”
 |
The sea is behind you, and the enemy in front of you ! |
Dengan semangat berkobar-kobar, bala tentera Islam dengan mudah mengalahkan tentera kafir Raja Roderic yang zalim pada suatu musim panas tahun 711 Masihi. Berkat pengorbanan Tariq dan tenteranya, Islam telah bertapak di bumi Sepanyol selama lebih 700 ratus tahun. Satu jarak masa yang begitu lama, sebagai perbandingan Islam di Malaysia baru sekitar 500 tahun.
Kalau kita sekarang anggun bergaya dengan aksesori Loewe atau Tous dari Sepanyol, ada kemungkinan yang perekacipta jenama-jenama designer ini, datang dari keturunan Tariq ibnu Ziyad. Mendiang Salvador Dali pelukis prolifik Sepanyol sering berbangga pada keturunannya dari bangsa Moor di Andalusia, bangsa panglima Tariq ibnu Ziyad.
 |
Sebuah karya Salvador Dali |
Setelah kembali ke tanahair, pasangan merpati sejoli Rosman dan Ana melangsungkan perkahwinan. Perkahwinan mereka amat meriah dan berwarna-warni, penuh dengan janji-janji untuk setia selamanya. Rezeki mereka melimpah ruah. Mereka dikurniakan anak-anak yang comel dan bijak. Kawan-kawan dan para sahabat karib amat seronok dan bersyukur melihatkan dua insan ini bahagia dan punya potensi yang besar di dalam kedudukan mereka yang stabil di kelas pertengahan.
Kemudian ujian maha besar pun tiba. Ditokok tambah gangguan pihak ketiga. Mahligai indah satu dekad hancur luluh begitu sahaja. Tidak tahu salah siapa. Mereka saling tuduh menuduh. Dulu kekasih, kini bagai musuh. Kata Rosman padaku, “Hisham sahabatku, tiada apa yang tinggal dalam diri ini, sudah tiada ruang lagi. Kemana hilangnya keroncong cinta aku dan Ana yang selalu kami nyanyikan bersama?”
Rosman, sahabatku. Aku tidak punya jawapan mutlak. Hidup ini, seperti juga cinta, adalah suatu perjuangan. Aku cuba memberi kata semangat padanya. Aku bukan panglima perang sehebat panglima Tariq. Aku cuma seorang sahabat karib. Kata pesanku mungkin tiada memberi kesan atau tidak langsung akan membakar semangat untuk bertarung dengan ujian getir. Tapi ingatkanlah kata-kata hikmat penyair Sasterawan Negara Usman Awang tentang perjuangan hidup.
Kawan-kawanku yang dikasihi
Di belakang duri
Di depan api
Kita tidak bisa undur lagi
Duri dan api
Tajam panasnya kita hadapi
 |
Kita tidak bisa undur lagi |
Selagi ada nyawa, hidup ini perlu diteruskan. Walau duri atau api di hadapan, di belakang atau di keliling kita. Kekasih di dunia ini tiada yang kekal. Kembalilah dengan semangat juang untuk meneruskan kehidupan. Mintalah pertolongan pada Tuhan dan redhalah atas takdir yang berlaku. Semua yang berlaku tentu ada hikmah di sebaliknya. Kerana Dia yang lebih mengetahui. Kerana Dia yang lebih mengerti. Mana tahu di dalam perjalanan kehidupanmu yang baru nanti, kamu akan bertemu kekasih yang setia, yang lebih baik dari Ana. Atau kalau nak dijadikan kisah hidupmu lebih klasik, mungkin kamu dan Ana akan bersatu kembali, sama seperti dahulu di waktu musim bunga-bunga berkembang. Tiada yang mustahil.
Akhirnya, para pembaca yang budiman, Februari datang lagi. Kisah Qaisy dan Layla masih belum selesai, begitu juga antara Rosman dan Ana. Di bulan mengenang kekasih ini, marilah kita sama-sama mengenang dan menghargai pengorbanan kekasih kita. Ucapkanlah terima kasih tidak terhingga pada si dia. Terima kasih kerana sudi berkongsi sama-sama di sepanjang jalan dan liku kehidupan. Terima kasih juga kerana bersabar dengan kerenah dan ego (lelaki seperti aku) kita.
Tetapi, dalam mengenang kekasih kita, kalau yang dapat dilihat hanya perkara-perkara yang kurang baik, fikirkan kembali, kenapa kita jatuh cinta dengannya mula-mula dahulu. Fikirkan segala kenangan terindah. Berilah dia peluang. Peluang sekali lagi. Berilah jua si dia hadiah istimewa. Boleh dipilih yang mana mampu dalam majalah GLAM ini, betulkan my dear aunt Wirda? Kejutkan kekasihmu dengan pemberian ikhlas. He or she deserves it.
Bersegeralah. Sang cupid sudah berkeliaran dengan panah asmara. Semoga kamu berdua jatuh cinta sekali lagi. Dan berkali-kali selepas itu hingga ke akhir hayat.
Kepadamu kekasih di luar sana …
GLAM